Wednesday, February 8, 2012

Saya Balik Kampung

Cuti panjang yang lalu sememangnya peluang yang tidak boleh saya lepaskan untuk saya pulang ke kampung. Mana tidaknya, cuti tahun baru cina yang lalu saya tidak pulang kerana demam dan batuk. Mungkin sebab faktor cuaca sekarang yang tidak menentu barang kali.

Seperti biasa seawal 6.30 pagi saya telah bertolak dari rumah, kerana saya menaiki bas ekspress paling awal sekali, iaitu 8.00 pagi. Perjalanan dari Terminal Larkin Sentral ke Terminal Bas Segamat mengambil masa 2 jam setengah atau 3 jam, bergantung kepada keadaan lalulintas. Oleh kerana bangun awal pagi, maka sepanjang perjalanan merupakan peluang untuk saya melelapkan mata. Dari bandar Segamat biasanya saya perlu menaiki bas untuk sampai ke pekan Jementah. Tetapi kali ini nasib saya baik kerana kakak saya dan anak saudara saya datang menjemput di Terminal Bas Segamat, jadi tak perlulah saya menaiki bas.
Perjalanan dari terminal bas Segamat ke pekan Jementah mengambil masa setengah jam atau kadang kala 45 minit. Dari pekan saya mengambil motor dari rumah kakak saya untuk masuk ke kampong. Perjalanan mengambil masa lagi 15 minit untuk sampai ke kampong saya. Setelah selama hampir 5 jam perjalanan maka akhirnya sampailah saya ke kampung halaman saya…Kampung Bukit Keledang…..

Tidak ramai yang tahu kampung saya ni, sebab kampung saya boleh di katakan kawasan pedalaman juga sebenarnya. Tetapi kemudahan asas semuanya telah lengkap sekarang tidak la seperti zaman saya kanak-kanak dahulu. Kalau dahulu jalan masih lagi tanah merah, bekalan elektrik dan air pun tidak ada jauh sekali talian telefon. Kalau dahulu bekalan air kami perolehi dari tadahan air hujan atau pun dari mata air atau pun perigi. Untuk menonton televisyen biasanya kami akan menggunakan bateri kereta atau pun bagi yang berkemampuan ada la jenerator.
 

Namun segalanya telah berubah, saban tahun sedikit demi sedikit kampung saya telah meningkat maju mengikut peredaran masa.  Walaupun kita perubahannya agak perlahan berbanding di kawasan bandar. Tetapi apa yang lebih penting adalah ketenagan apabila berada di kampung. Udara yang nyaman suasana yang tenang, tidak ada hiruk pikuk kebisingan macam di bandar. 

Sebenarnya kawasan kampung saya ni bersepadan dengan negeri Melaka dan tidak jauh dari Gunung Ledang. Kalau dulu memang tempat laluan bagi anggota tentera berlatih iaitu di kawasan Asahan. Kegiatan utama di kampung saya adalah menoreh getah. Semenjak harga getah melambung naik ni sudah banyak kelihatan orang-orang kampung yang mempunyai kereta. Tidak la seperti dahulu, tidak ramai yang mampu memiliki sebuah kereta. Alhamdulillah rezeki dari Allah segalanya sudah berubah sekarang.

Tidak banyak kegiatan malam yang boleh dilakukan di kampung saya ni. Nak ke pekan pun mengambil masa 15 atau 20 minit perjalanan. Di tambah pula perlu meredah gelap pekat malam dan melewati kawasan ladang kebun getah. Jadi bila malam duduk sahaja di rumah berbual dengan ahli keluarg sambil menonton drama di televisyen. Begitu tenang rasanya di kampung, malam terasa begitu sunyi dan sepi, tidak ada kedengaran bunyi kenderaan lalu lalang seperti kat bandar. Suasana macam ni memang membuatkan mata cepat saja nak terlelap. 

Sememangnya susana di kampung tempat yang sesuai untuk berehat dan menenangkan fikiran. Jauh dari kesibukan kota dan kekalutan manusia mengejar masa. Di kampung masa terasa perlahan dan begitu menyamankan. Tidak ada tempat yang lebih baik selain dari kampung sendiri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...