Wednesday, February 16, 2011

Satu Perjalanan Sejuta Amalan

Kemanakah arah tuju hidup kita didunia ini? Seperti yang kita semua sedia maklum yang hidup kita di dunia ini hanyalah sementara dan yang kekal abadi hanyalah diakhirat kelak. Hidup kita umpama perjalanan yang teramat jauh dan kadangkala boleh juga menjadi terlalu singkat. Tidak kira jauh atau dekat kita sebagai manusia perlulah sentiasa bersiap sediakan diri kita dengan bekalan yang secukupnya.

Sekiranya kita mahu pergi ke satu destinasi yang jauh sudah pasti banyak bekalan yang kita akan bawa, seperti makanan, minuman dan pakaian yang mencukupi. Namun apa sahaja boleh berlaku di pertengahan perjalanan tersebut yang tidak sendiri tidak akan menyangka akan berlaku. Sekiranya bekalan yang ada mencukupi pasti kita akan dapat menghadapi dengan mudah. Tetapi sekiranya bekalan yang ada tidak mencukupi kita akan cuba berusaha untuk mendapatkan bekalan di bagi mengatasi masalah yang kita hadapi. Sebagai contoh tiba-tiba kereta yang kita gunakan rosak di tengah perjalanan, pasti kita akan berusaha untuk mencari bengkel bagi menyelenggara kereta kita. Atau bekalan minuman atau makanan yang kita bawa kehabisan, sudah pasti kita akan mencari kedai untuk membelinya. Semuanya adalah atas usaha kita untuk sampai ke destinasi yang kita tuju dengan selamat dan selesa.


Begitulah juga dalam kehidupan kita di alam ini, perjalanan hidup kita terlalu panjang dan jauh dan kita tidak pasti bilakah ianya akan berakhir. Perjalanan yang jauh ini kadang kala tanpa kita sedar bekalan yang ada semakin lama semakin berkurangan dan sukar untuk kita meneruskan perjalanan. Namun kita tidak boleh berhenti seandainya belum waktunya, mahu atau tidak kita perlu meneruskan jua perjalanan dengan sedaya upaya yang kita mampu sehinggalah masanya tiba untuk kita. Tapi apakah bekalan yang dibawa? Apa bekalan yang kita ada?

Ada 3 bekalan yang perlu kita bawa disepanjang perjalanan kita iaitu Ilmu yang berguna, Iman yang teguh dan Amalan baik yang tidak terkira. Ilmu, Iman dan Amal merupakan elemen yang penting didalam kehidupan manusia, terutama bagi kita umat Islam. Tanpa 3 pekara asas tersebut sudah pasti tidak ada maknanya hidup kita di alam yang fana ini. Sudah pasti kehidupan kita tidak akan bermakna dan segalanya kita akan rasa seperti sia-sia sahaja. Di sepanjang perjalanan tersebut pasti berbagai dugaan dan halangan yang perlu kita tempuhi. Sudah pasti ada antara dugaan tersebut yang mungkin boleh mengugat keimanan kita dan boleh menyebabkan akidah kita tergoncang. Pada saat-saat yang getir ini maka ilmu yang berguna dan bermanfaat pasti akan dapat menjadi penyuluh kepada kita. Namun hanya dengan ilmu tanpa ada keimanan yang teguh maka segala ilmu yang ada tidak akan berguna kepada diri kita. Setelah itu untuk memastikan ianya bermanfaat maka amalkan segala apa yang telah kita yakini benar dan selagi mana ianya tidak melampaui batas serta lunas agama.
Dewasa ini begitu banyak dugaan dan cubaan yang hadir didalam diri kehidupan seharian kita. Permintaan hidup yang begitu mendesak kadang kala boleh membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan diri. Ada yang sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan segala apa yang di ingini dapat dipenuhi. Hawa nafsu semakin memuncak dan ada yang sanggup melakukan pekara yang sehingga melampaui batas akidah agama. Maka tidak hairanlah gejala sosial yang sering kali di suarakan semakin lama semakin menjadi-jadi. Kes-kes maksiat dan buang bayi semakin hari semakin banyak berlaku walaupun berbagai langkah pencegahan telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan juga bukan kerajaan. Di manakah silapnya?

Bila ditanya siapa yang salah, ramai yang menuding jari kepada orang lain. Hampir semua orang meyalahkan orang lain. Tidak ada yang menuding jari pada diri sendiri dan mengaku kesilapan dirinya. Kalau ada pun mungkin segelintir sahaja yang berbuat begitu. Sudah lumrah sifat manusia sukar untuk mengaku salah atau kelemahan diri sendiri. Sebenarnya semua pihak harus rasa bersalah ke atas segala gejala kemaksiatan yang berlaku itu. Sebabnya tidak ramai diantara kita yang menegur sekiranya mereka ternampak pekara-pekara yang tidak sepatutnya dilakukan. Tidak ramai juga diantara kita yang menegur mereka-mereka yang melepak di kompleks-kompleks membeli belah. Tidak ramai juga diantara kita yang mengajak rakan-rakan kita yang bersembang di kedai kopi untuk ke masjid apabila azan berkemundang. Jika pekara yang sebegitu pun kadang kala kita masih lagi gagal untuk lakukan, jadi bagaimana kita mahu membendung masalah yang lebih besar dan lebih sukar.
Di zaman sains dan teknonolgi ini ilmu pengetahuan merupakan satu pekara penting didalam kehidupan seharian kita. Barang siapa yang gagal memeproleh ilmu maka mereka pasti akan ketinggalan dan gagal sukar untuk menempuhi hari-hari didunia ini.

"Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (HR. Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan kepada hadith di atas dapat kita lihat betapa pentingnya ilmu didalam kehidupan kita. Tanpa ada ilmu kita bukan sahaja gagal di dunia ini bahkan kita juga akan gagal di akhirat kelak. Justeru itu tuntutlah ilmu selagi hayat di kandung badan, tuntutlah ilmu selagi kita mampu. Menuntut ilmu itu tidak ada batasannya, selagi mana ianya tidak menyimpang dari akidah dan agama maka selagi itulah kita perlu menuntut ilmu.
Dengan ilmu yang berguna dan keimanan yang teguh serta amalan yang tiada penghujungnya pasti diri kita bukan sahaja bahagia di dunia bahkan Insha Allah di akhirat juga. Itu adalah janji Allah yang pasti, dan sebagai umatnya kita tidak harus meraguinya. Selagi kita tidak terkeluar dari landasan selagi itulah Allah akan sentiasa ada untuk kita. Hisablah bekalan kita, adakah ianya sudah memadai untuk kita.

“Bekerjalah dan carilah rezeki seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun”
“Beribadahlah dan beramallah seolah-olah kamu akan mati hari esok”

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...