Wednesday, October 27, 2010

Iman

Iman...Antara aspek yang paling utama didalam diri kita sebagai umat Islam. Kekuatan iman didalam diri setiap umat Islam menjaminkan kebahagian bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Apa itu iman dan mengapa ianya begitu penting didalam diri kita...

Erti Iman (الإيمان) secara harafiah dalam Islam adalah bererti percaya kepada Allah. Dengan itu orang yang beriman adalah ditakrifkan sebagai orang yang percaya (mukmin). Siapa yang percaya maka dia dikatakan beriman. Perkataan Iman (إيمان) diambil dari kata kerja 'aamana' (أمن) -- yukminu' (يوءمن) yang bererti 'percaya' atau 'membenarkan'. Perkataan Iman yang bererti 'membenarkan' itu disebutkan dalam al-Quran, di antaranya dalam Surah At-Taubah ayat 62 yang bermaksud:

"Dia (Muhammad) itu membenarkan (mempercayai) kepada Allah dan membenarkan kepada para orang yang beriman."

Takrif Iman menurut istilah syariat Islam
Iman ialah membenarkan dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan. Ringkasnya orang yang beriman ialah orang yang percaya, mengaku dan beramal. Tanpa tiga syarat ini, seseorang itu belumlah dikatakan beriman yang sempurna. Ketiadaan satu sahaja dari yang tiga itu, sudah lainlah nama yang Islam berikan pada seseorang itu, iaitu fasik, munafik atau kafir.




Apa yang boleh kita lihat disini adalah iman bukan sahaja kita mengaku dengan lidah bahawa kita beriman bahkan kita perlulah melaksanakannya dengan perbuatan kita. Sekiranya kita beriman kepada Allah, sebagai membuktikan keimanan kita hendaklah kita melaksanakan segala kewajiban kita dan sebagai umatnya dan meninggalkan segala larangan. Namun sekarang ni ada segelintir umat manusia yang semakin jauh dirinya dengan maha pencipta. Mereka kian lalai dengan keindahan dan keseronokan didunia yang sifatnya hanyalah sementara. Jadi dimana pula kesilapannya, adakah kurang didikan atau mereka tidak percaya dengan apa yang mereka tahu atau pelajari. Ada juga diantara mereka yang berpelajaran tinggi, namun malang sekali tahap keimanan mereka jauh rendah.
Natijahnya masalah sosial semakin lama semakin menjadi-jadi sekarang ini. Saban hari ada sahaja kes pembuangan bayi di laporkan dan kebanyakkan yang terlibat adalah golongan muda remaja yang menjadi tonggak kepada negara. Dalam pekara ini ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dengan memberikan sepenuh perhatian ke atas tindak tanduk anak-anak mereka dan tidak hanya melepaskannya kepada guru-guru untuk mengajar anak mereka. Ini kerana ibu bapa merupakan guru yang paling hampir dengan anak-anak ini berbanding dengan guru-guru di sekolah hanya mempunyai masa yang amat singkat dengan anak-anak mereka. Oleh yang demikian ibu bapa perlulah memberikan contoh teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Janganlah menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus, sedangkan dirinya sendiri jalan senget.

Justeru itu sekiranya diri kita mempunyai tahap keimanan yang kukuh serta akidah yang elok, maka segala masalah sosial sudah pasti dapat di atasi dengan mudah. Kita perlu percaya bahawa ada hari pembalasan untuk kita di akhirat kelak. Kita perlu percaya yang hidup kita ini singkat dan sementara sahaja dan di akhirat kelaklah yang akan kekal untuk selamanya.

Firman Allah Subhannahu wa Ta’ala:
“Dan tiada kami jadikan penjaga Neraka itu melainkan dari malaikat; dan tidaklah kami menjadikan bilangan mereka itu melainkan untuk jadi cobaan orang-orang kafir, supaya orang-orang yang diberi Al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi Al-Kitab dan orang-orang mukmin tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir (menyatakan), Apakah yang dikehendaki Allah dengan bilangan ini sebagai suatu perumpamaan?” (Al-Muddatstsir: 31)

Firman Allah Subhannahu wa Ta’ala:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal, (yaitu) orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan se-bagian dari rizki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.” (Al-Anfal: 2-4)

Harus di ingat bahawa, keimanan kita kepada Allah akan menjadi penyelamat utama kepada kita bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak......

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...