Monday, March 8, 2010

Nikah Kahwin......

Assalamualaikum...

Semoga Allah memberkati didatas segala perkara yang kita laksanakan dimuka bumi ini...

Dah lama rasanya saya tidak mengemaskini blog ini...bukan tidak ada masa, bohong kalau saya katakan tidak ada masa.Tapi yang sebenarnya tidak idea nak diutarakan sehinggalah ada seseorang yang mengutarakan satu persoalan kepada saya.. Dia menanyakan pandangan saya berkenaan satu artikel berkaitan wanita yang berkahwin dengan lelaki yang lebih muda.. Jadi dibawah ini merupakan pandangan saya berkenaan persoalan tersebut dan segala nama yang terdapat didalam penulisan ini hanyalah rekaan semata-mata tidak ada kaitan sama ada yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah s.w.a dan yang kurang elok itu datangnya dari kelemahan diri saya sendiri....

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan hamba sahaya lelaki dan perempuan yang patut. Kalau mereka miskin, nanti Allah akan memberinya kekayaan dari kemurahanNya dan Allah itu luas pemeberianNya dan maha tahu” (Surah An-Nur ayat 32)

Banyak persoalan didalam perkara nikah dan kahwin ini, anataranya wanita yang lebih tua dan berharta berkahwin dengan lelaki yang lebih muda. Ini boleh dianggap sebagai satu isu yang agak sensitif dikalangan masyarakat Malaysia ini. Didalam agama Islam berkahwin atau bernikah merupakan satu perkara yang amat di tuntut apabila kemampuan diantaranya telah ada seperti apa yang telah diseru oleh nabi junjungan kita:

“Hai para pemuda, bila kamu telah mampu kahwin, maka kahwinlah kerana itu lebih memejamkan mata dan membentengi kehormatan. Barang siapa belum mampu, hendaklah berpuasa. Sesungguhnya puasa adalah perisai”




Jadi disini kita boleh lihat bahawa dengan bernikah kita akan dapat menghindarkan diri kita dari melakukan kemaksiatan dan boleh menjauhkan dari pandangan kurang elok masyarakat. Di dalam Islam juga tidak sebarang larangan didalam memilih calon pasangan hidup tidak kiralah siapa pun yang lebih muda atau siapa yang lebih tua. Sekiranya telah ada kemampuan serta keinginan untuk bernikah maka teruskanlah hajat tersebut dan janganlah menghalangnya. Namun haruslah dilihat beberapa kreteria didalam memilih calon pasangan hidup bagi kebahagiaan di dunia dan akhirat seperti yang telah ditetapkan oleh Rasul s.a.w:

“Wanita dinikahi adalah kerana empat perkara iaitu, kerana hartanya, kerana nasab keturuanannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita kerana agamanya, adapun akan beruntung di dunia dan akhirat”

Tidak ada salahnya sekirannya seorang wanita itu bernikah dengan lelaki yang lebih muda darinya. Tidak ada salahnya juga seorang lelaki bernikah dengan wanita yang lebih berharta darinya. Sememangnya tidak ada sebarang larangan didalam agama siapa yang lebih muda atau tua dan tiada juga sebarang larangan siapa yang lebih berharta didalam memilih pasangan hidup.

Tetapi kita juga perlu melihat dari sudut yang berbeza perkara ini. Kalau kita rujuk kepada sejarah Rasul s.a.w , baginda bernikah dengan Khadijah pada masa umur baginda 25 tahun dan Khadijah berumur 40 tahun, satu perbezaan umur yang amat jauh. Ditambah pula Khadijah merupakan seorang yang kaya dan berharta. Itu adalah Rasul s.a.w insan yang terpilih dan mempunyai akhlak yang amat tinggi nilainya,dibandingkan dengan kita insan biasa yang akhlaknya sukar untuk diduga.

Kalau kita lihat dari segi psikologi, orang asia atau Malaysia ini sendiri kebanyakan dari kita ini suka kepada sesuatu yang indah dan menarik, begitu juga didalam memilih pasangan hidup. Ini adalah lumrah kehidupan zaman sekarang ini. Seorang lelaki itu sudah pasti akan memilih perempuan yang lebih muda dan cantik berbanding perempuan yang lebih tua dari umur mereka. Ada juga yang memilih perempuan yang lebih tua, tetapi sudah pasti mereka akan melihat pada harta yang dimiliki oleh wanita tersebut. Itu tidak mustahil akan berlaku.

Masyarakat juga memainkan peranan didalam perkara ini. Sekiranya seorang wanita yang berharta berkahwin dengan lelaki yang lebih muda darinya, sudah pasti akan menjadi buah mulut didalam masyarakat setempat. Mungkin boleh menimbulkan berbagai tohmahan, tuduhan, cerita dan yang lebih hebat lagi fitnah dikalangan mereka. Pernikahan yang sepatutnya menghindarkan dari perkara itu berlaku menjadi sebaliknya.

Sebagai contoh, Ali(25) berkahwin dengan Aminah(40) seorang ahli perniagaan yang kaya. Sedangkan Ali hanya bekerja sebagai seorang kerani sahaja. Walaupun mereka berkahwin atas dasar suka sama suka, tetapi ada segelintir jiran tetangga beraggapan Ali berkahwin dengan Aminah kerana hartanya. Apabila perkara ini timbul maka akan timbullah pelbagai cerita dan tohmahan masyarakat terhadap Ali. Bayangkan pula secara tiba-tiba Aminah jatuh sakit yang amat teruk dan sukar untuk diubati sudah pasti akan timbul pula cerita yang Ali telah menyihir Aminah kerana Ali ingin membolot harta Aminah. Ini merupakan satu fitnah yang amat berat sekali.

Seperti yang saya cakap sebelum ni, masyarakat kita sekarang ni lebih berminat keindahan lahiriah berbanding keindahan dalaman. Bayangkanlah Ali sudah berkahwin dengan Aminah selama 20 tahun, maka umur Ali 45 tahun dan Aminah 65 tahun. Sudah pasti Aminah akan begitu nampak lebih tua dan sudah tidak menarik lagi bagi Ali. Sedangkan Ali pada ketika itu kelihatan masih lagi muda dan gagah. Tidak mustahil Ali akan berusaha untuk mencari calon isteri yang lebih muda menarik dari Aminah yang sudah tua dan tidak menarik. Apa akan jadi kepada Aminah sukar untuk dijangkakan.Kita kena lihat perkara ini dari sudut kita ini sebagai insan biasa yang sentiasa ingin memenuhi tuntutan dalam diri kita.

Satu lagi perkara yang perlu dilihat adalah sekiranya seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita yang lebih tua, lebih berpendidikan dan lebih berharta kebiasaannya wanita tersebut akan mendominasi suaminya. Sekiranya perkara ini berlaku ianya boleh membawa kepada nusyuz yang mebawa erti kata lain derhaka ataupun ingkar kepada perintah suami. Keegoan si isteri kerana dengan kelebihannya boleh mengundang kepada perkara-perkara maksiat lain akan berlaku.
Namun perkara ini boleh dihindarkan sekiranya kita mengikut aturan yang telah di sarankan oleh Rasul s.a.w. iaitu pilihlah yang beragama sekiranya kita ingin mencapai kebahagian di dunia dan akhirat. Seandainya elok dan cantik agamanya maka akan cantik dan bahagialah keseluruhannya. Suami seharusnya menjadi tempat bernaung dan bergantung bagi wanita yang bergelar isteri. Suami juga merupakan pemimpin dalam keluarga dan sebagai pemimpin perlulah bijak dalam membuat keputusan serta bersikap adil. Isteri pula perlulah memainkan peranan sebagai pembantu dan penasihat kepada suaminya. Hidup berumahtangga juga perlulah ada kesepakatan, toleransi dan bertolak ansur diantara satu sama lain bagi menjamin kebahagiaan kerana isteri dicipatakan oleh Allah sebagai tempat untuk seorang suami menenangkan jiwanya.

“Dialah yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya” (Al-A’raf: 189)

“Dan diantara tanda-tanda kekuasaaNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya” (Ar-Rum: 21)


Sekian…..
Wasallam…..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...